Factorymobile.com.my

HONOR Magic9 Pro Max Rasmi Di Malaysia: Kamera Ala Hollywood

Assalamualaikum dan hai kepada semua pembaca blog Factory Mobile.

Kalau sebelum ni kita tengok Xiaomi bekerjasama dengan Leica, vivo dengan ZEISS, OPPO pula dengan Hasselblad, kali ni HONOR ambil pendekatan yang sedikit berbeza dengan bekerjasama bersama ARRI.

Bagi korang yang tak kenal ARRI, banyak filem Hollywood yang kita tengok dekat pawagam tu dirakam menggunakan kamera keluaran syarikat ni.

Haa, sekarang bayangkan sebahagian teknologi kamera perfileman profesional tu dibawa masuk ke dalam sebuah smartphone.

HONOR Magic9 Pro Max telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 24 November 2026 dengan harga RM5,999. Ia juga merupakan model Pro Max pertama dalam siri Magic yang dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia.

Apa yang menarik sangat dengan smartphone ni?

Aaa marihh, abe cerita.

honor magic9 pro max

1. Bukan Sebarang Kamera, Ini Kerjasama Dengan ARRI

Bagi abe, inilah sebab utama kenapa HONOR Magic9 Pro Max menarik perhatian.

HONOR bukan sekadar nak korang ambil gambar cantik, tapi nak bagi korang lebih banyak kebebasan untuk menghasilkan video dengan gaya sinematik.

Melalui ARRI Cinema Mode, korang boleh merakam video sehingga 4K 60fps menggunakan profil warna ARRI LogC3.

Apa benda LogC3 ni?

Secara mudahnya, video yang dirakam akan nampak agak pudar pada awalnya. Tetapi format ni memberikan lebih banyak ruang untuk korang mengolah warna, pencahayaan dan mood video ketika proses editing.

HONOR turut menyediakan 14 pilihan ARRI Looks terbina dalam, dengan 87 pilihan tambahan melalui ARRI Look Library.

Kalau korang minat buat short film, video travel, content TikTok ataupun video promosi perniagaan, ciri macam ni memang menarik untuk diterokai.

Cuma jangan pula ingat beli smartphone ni terus boleh hasilkan filem Hollywood. Teknik pencahayaan, komposisi, pergerakan kamera dan kemahiran editing masih memainkan peranan yang besar.

2. Dua Kamera 200MP, Bukan Satu!

Kalau kebanyakan smartphone menawarkan satu kamera utama beresolusi tinggi, HONOR kali ni bagi dua kamera 200MP.

Konfigurasi kameranya adalah seperti berikut:

  • 200MP kamera utama dengan OIS
  • 200MP kamera periscope telephoto dengan 3.5x optical zoom
  • 50MP kamera ultrawide
  • 55MP kamera hadapan

HONOR turut memperkenalkan cip pemprosesan imej tersendiri, HONOR Imaging Chip H1.

Hasil gambar telefon ni mempunyai perincian yang baik, warna yang menyerlah dan tona kulit yang lebih natural berbanding sebelum ini.

Cuma untuk korang yang lebih suka gambar dengan warna lembut dan neutral, karakter warna HONOR mungkin masih terasa agak kuat.

3. Rekaan Baharu, Dah Tak Guna Bonggol Kamera Bulat

Kalau korang perasan, beberapa generasi HONOR Magic sebelum ni menggunakan modul kamera bulat yang cukup besar di bahagian belakang.

Kali ni HONOR ubah terus identiti tersebut.

Magic9 Pro Max menggunakan modul kamera berbentuk segi empat dengan susunan tiga lensa yang diinspirasikan daripada kamera klasik ARRI.

Badan telefon pula menggunakan binaan logam unibody yang memberikan penampilan premium.

Terdapat tiga pilihan warna:

  • Moss Green
  • Glacier Silver
  • Shadow Black

Antara ketiga-tiga warna ni, Moss Green bagi abe nampak paling menarik sebab memberikan identiti yang sedikit berbeza.

Cuma dengan berat 233 gram, telefon ni bukanlah smartphone yang ringan. Kalau korang jenis suka guna phone dengan sebelah tangan, mungkin kena biasakan diri dahulu.

4. Bateri 8,000mAh Dalam Smartphone Flagship

Bab bateri ni pun abe rasa menarik.

Kalau HONOR Magic8 Pro sebelum ni dah menawarkan bateri 7,100mAh, kali ni HONOR naikkan kapasiti kepada 8,000mAh untuk pasaran Malaysia.

Ia turut menyokong:

  • Pengecasan berwayar 100W
  • Pengecasan tanpa wayar 80W

Dalam ujian penstriman video yang dilakukan oleh Lowyat.NET, telefon ini mampu bertahan lebih 19 jam.

Untuk korang yang selalu menggunakan smartphone bagi tujuan kerja, rakam content, tengok YouTube atau selalu berada di luar, bateri sebesar ni memang satu kelebihan.

Lagi menarik, korang tak perlu membeli smartphone kelas pertengahan semata-mata nak mendapatkan bateri berkapasiti besar.

Sekarang flagship pun dah mula menawarkan bateri macam ni.

5. Skrin 10,000 Nits Dan Processor Flagship Terbaharu

HONOR Magic9 Pro Max dilengkapi skrin LTPO OLED bersaiz 6.8 inci dengan kadar segar semula 120Hz.

Kecerahan puncaknya boleh mencapai sehingga 10,000 nits dalam keadaan tertentu. Skrin ini turut mempunyai lapisan anti-pantulan yang membantu ketika penggunaan di luar bangunan.

Dari segi prestasi pula, HONOR menggunakan Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, iaitu processor flagship terbaharu daripada Qualcomm.

Ia dipadankan dengan RAM fizikal 12GB dan storan 512GB, serta tambahan 12GB HONOR Turbo RAM.

Untuk kegunaan harian, multitasking, editing video dan gaming, spesifikasi macam ni memang berada dalam kategori flagship.

Telefon ini juga menjalankan Android 17 menerusi MagicOS 11 serta mempunyai penarafan ketahanan air dan habuk IP68, IP69 dan IP69K.

6. Apa Pula Kelemahan HONOR Magic9 Pro Max?

Tak lengkap rasanya kalau abe cerita benda yang bagus sahaja.

Berdasarkan ujian Lowyat.NET, terdapat beberapa perkara yang korang perlu ambil perhatian sebelum membeli:

  • Telefon boleh menjadi agak panas ketika menjalankan permainan berat untuk tempoh yang panjang.
  • Prestasi gaming mula menunjukkan sedikit gangguan selepas sekitar 30 minit.
  • Aplikasi kamera dilaporkan mengalami crash sekali-sekala ketika diuji.
  • ARRI Cinema Mode tidak boleh digunakan dengan kamera ultrawide.
  • Kedudukan butang kawalan kamera mungkin kurang selesa bagi sesetengah pengguna.

Lowyat.NET memberikan penilaian keseluruhan 8 daripada 10 untuk smartphone ini.

Abe harap isu berkaitan aplikasi kamera dapat diperbaiki melalui kemas kini perisian akan datang, sebab kamera merupakan tarikan utama smartphone ni.

7. Harga Rasmi HONOR Magic9 Pro Max Di Malaysia

HONOR Magic9 Pro Max dijual pada harga rasmi RM5,999 untuk varian 12GB RAM dan 512GB storan.

Tempoh pra-tempahan berlangsung dari 24 November hingga 3 Disember 2026, dengan hadiah percuma bernilai sehingga RM4,009 tertakluk pada terma promosi.

Jualan umum pula dijadualkan bermula pada 4 Disember 2026.

HONOR turut memperkenalkan beberapa aksesori tambahan untuk peminat fotografi dan videografi:

  • HONOR SmallRig Mobile Video Kit – RM1,299
  • HONOR Teleconverter G200 – RM999
  • HONOR Teleconverter G500 – RM1,899

Nampak gayanya HONOR memang serius nak membina ekosistem perfileman menggunakan smartphone.

Spesifikasi HONOR Magic9 Pro Max

SpesifikasiHONOR Magic9 Pro Max
Skrin6.8 inci LTPO OLED
Refresh rate120Hz
Kecerahan puncak10,000 nits
ProcessorSnapdragon 8 Elite Extreme Gen 6
RAM12GB + 12GB Turbo RAM
Storan512GB
Kamera belakang200MP + 200MP + 50MP
Kamera hadapan55MP
Bateri8,000mAh
Pengecasan100W berwayar, 80W tanpa wayar
Sistem operasiMagicOS 11, Android 17
Ketahanan air dan habukIP68, IP69, IP69K
Berat233g
Harga MalaysiaRM5,999

Apa Pendapat Abe?

Bagi abe, perkara paling menarik tentang HONOR Magic9 Pro Max bukanlah kamera 200MP ataupun bateri 8,000mAh semata-mata.

Tetapi keberanian HONOR untuk memberikan identiti yang berbeza kepada smartphone flagship mereka.

Malah, HONOR Magic9 Pro Max turut dipilih sebagai peranti rasmi Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35). Ini menunjukkan betapa seriusnya HONOR mahu mendekatkan jenama mereka dengan industri perfileman.

Dengan harga RM5,999, HONOR kini bersaing secara langsung dengan iPhone 18 Pro Max dan Xiaomi 18 Pro Max.

Kalau korang seorang content creator, videographer ataupun baru nak berjinak-jinak dengan dunia filmmaking dan color grading, HONOR Magic9 Pro Max memang patut masuk dalam senarai pertimbangan.

Tapi kalau korang lebih banyak menggunakan smartphone untuk WhatsApp, Facebook, TikTok dan ambil gambar biasa, mungkin tak semua kelebihan kamera ni akan korang gunakan.

Abe sendiri tertarik nak mencuba ARRI Cinema Mode dan tengok sejauh mana kita boleh mendapatkan hasil video sinematik menggunakan sebuah smartphone.

Zaman dulu, nak hasilkan video yang nampak macam filem, kita kena keluarkan modal yang agak besar untuk membeli peralatan kamera.

Sekarang, sebahagian daripada teknologi tersebut dah boleh kita bawa dalam poket seluar.

Teknologi makin lama makin menarik, kan?

Kalau korang ada bajet RM6,000, korang pilih HONOR Magic9 Pro Max, iPhone 18 Pro Max atau Xiaomi 18 Pro Max?

Sampai sini dahulu, kita jumpa lagi dalam artikel yang lain pula. Assalamualaikum.

Untuk maklumat lanjut, harga smartphone dan promosi terkini, boleh layari factorymobile.my.

Nak lebih menarik? Jom usha artikel-artikel kami yang lain.

Follow Channel kami untuk update artikel terbaru

FOLLOW MEDIA SOSIAL KAMI

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top